COVID bukan penghalang bagi MAI catat kejayaan dalam GCE ‘O’

15 Jan COVID bukan penghalang bagi MAI catat kejayaan dalam GCE ‘O’

oleh HISHAMUDIN AWANG CHIK

BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Meskipun pelbagai cabaran ekoran wabak COVID-19 memaksa Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) mengubah rentak pengajiannya, hasilnya membuktikan bahawa semua itu sama sekali tidak menjejas prestasi para pelajarnya.

Ini disaksikan apabila para pelajar MAI yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ pada tahun lalu berjaya meraih markah yang dapat dibanggakan.

Malah, salah seorang pelajarnya Luqman Jun’en Mohammad Sa’ad, muncul sebagai pelajar madrasah sepenuh masa terbaik di Singapura dengan meraih 8 kepujian dalam mata pelajaran GCE Peringkat ‘O’ yang didudukinya tahun lalu.

Menurut Luqman Jun’en, 16 tahun, keputusan yang diraihnya “mencerminkan tahap pendidikan yang tinggi yang saya dan rakan-rakan terima daripada para guru dan asatizah kami di MAI.”

Beliau yang tidak menjangkakan keputusan yang baik itu berkata:

“Madrasah ini ibarat rumah saya dan di sinilah saya dan rakan-rakan dididik menjadi insan. Susah-senang kami sering bersatu dan bersama,” kata Luqman.

Keputusan GCE Peringkat ‘O’ tahun 2020 diumumkan pada 11 Januari lalu.

Secara keseluruhan, 85.4 peratus kohort bagi kesemua pelajar Singapura yang menduduki peperiksaan itu meraih lima kelulusan atau lebih – lebih tinggi berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 85.2 peratus.

Pencapaian lebih baik itu diraih meskipun para pelajar terpaksa menduduki bagi peperiksaan tersebut di tengah-tengah wabak global COVID-19.

Seorang lagi pelajar MAI yang turut meraih markah cemerlang ialah Ahmad An-Nafees Bin Mohd Najib, 16 tahun. Beliau meraih enam kepujian.

Kata Ahmad An-Nafees:

“Kejayaan yang saya kecapi ini selain hasil dorongan ibu bapa saya, juga berkat doa dan bantuan berterusan yang saya terima daripada guru-guru dan kawan-kawan saya.

“Mereka telah banyak memberi semangat kepada saya walaupun ada masanya saya rasa sukar akibat tekanan untuk berjaya.”

Menurut MAI, kedua-dua pelajar MAI itu rupakan pengawas di sekolah dan sering dilihat meluangkan masa bersama pelajar-pelajar berkebolehan yang lain, serta membantu dan membimbing rakan-rakan sekelas dalam pelajaran mereka.

Menurut Pengetua MAI, Encik Herman Cher Main, usaha murni Luqman Jun’en dan Ahmad An-Nafees mencerminkan amalan teras MAI memupuk semangat ukhuwah dan saling bantu membantu di kalangan pelajar-pelajarnya untuk sama-sama mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran, lebih-lebih lagi semasa keadaan COVID-19 yang mencabar ini.

“Sifat murni ini sejajar dengan misi madrasah bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berilmu, tetapi juga komited dan terdorong untuk berusaha lebih baik demi kebaikan semua.

“Pencapaian Luqman Jun’endan Ahmad An-Nafees ternyata mengukirkan rasa syukur dalam kalangan pelajar, guru dan asatizah di MAI,” kata Encik Herman.

Tahun 2021 merupakan tahun yang penuh bermakna bagi MAI kerana madrasah itu meraikan ulang tahunnya yang ke-75 – semenjak pendaftarannya di bawah Akta Pendidikan Singapura pada 9 Ogos 1946. Ini meskipun madrasah itu dipercayai telah wujud lebih awal dari itu, iaitu pada awal tahun 1930an.

“MAI telah wujud buat sekian lama dan telah banyak melahirkan pelajar yang cemerlang dan akan meneruskan misi murni ini untuk melahirkan lebih banyak pelajar cemerlang seperti Luqman Jun’en dan Ahmad An-Nafees pada masa hadapan,” kata Encik Herman.

Bagi memastikan MAI – sebuah institusi yang amat bergantung pada sumbangan masyarakat – dapat terus maju, Encik Herman dan seluruh warga kerja MAI amat mengalu-alukan sokongan dari semua pihak.

Mereka yang berminat untuk menyokong usaha MAI boleh membuat demikian menerusi cara-cara berikut:

  • Kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah’. Tuliskan nama dan nombor telefon di belakang cek untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;
  • Lakukan pemindahan wang ke akaun OCBC 591-10703-2001. Kirimkan nama, alamat dan nombor telefon anda ke admin@mai.edu.sg untuk madrasah sampaikan salinan resit derma;
  • Derma di kaunter madrasah di 3 Lorong 6, Toa Payoh, Singapura 319378
  • Derma menerusi PayNow di aplikasi perbankan mengguna Nombor UEN T08GB0028LMAI.
  • Telefon 6744-4749 atau Whatsapp ke 8474-7000 untuk pengambilan derma di rumah.

Penulis adalah guru Bahasa Melayu Lanjutan di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Artikel pertama kali disiarkan di Berita Harian pada 15 Jan 2021.

No Comments

Post A Comment