Madrasah Al-Arabiah lahirkan golongan hafizah

18 Aug Madrasah Al-Arabiah lahirkan golongan hafizah

HAFIZAH MUDA: Izzah Zakia Yusoff (kanan) bukan sahaja cemerlang dalam penghafalan Al-Quran, malah beliau juga merupakan antara pelajar yang mengambil sembilan mata pelajaran akademik termasuk Sains Tulen di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI). – Foto MADRASAH AL-ARABIAH AL-ISLAMIAH

Disiarkan di Berita Harian pada 18 Aug 2018
oleh SITI UMAIRAH ABDUL GHANI

MINAT menghafal kitab suci Al-Quran telah berputik dalam diri Izzah Zakia Yusoff, 15 tahun, sejak kecil lagi.

Bahkan setelah beliau melangkahkan kaki ke alam persekolahan di madrasah sepenuh masa, minat tersebut semakin berkembang.

“Di sekolah rendah, saya ada seorang teman yang senantiasa bersedia untuk menghafal di depan ustaz.

“Saya berasa amat cemburu pada waktu itu dan sering memikirkan mengapa ia susah bagi saya,” terang Izzah tersenyum.

Namun kesukaran tersebut tidak menghambat keinginannya untuk terus cuba menghafal ayat-ayat daripada kitab suci itu.

Kini penuntut di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) itu telah tiga tahun mengikuti kelas tahfiz yang diadakan di MAI, seiring mata pelajaran akademik.

“Semakin hari, ia menjadi semakin mudah. Satu ayat yang dahulunya memakan masa berjam untuk menghafal kini mampu untuk dihafal dalam masa yang lebih singkat, alhamdulillah.

“Memang ia mengambil masa untuk mendapat momentum. Saya telah cuba banyak cara yang disyorkan rakan-rakan dan asatizah untuk mempermudahkan hafalan. Saya tidak hanya guna satu cara,” jelas Izzah.

Tahun ini, Izzah merupakan antara 20 pelajar terbaik yang telah berjaya meraih Anugerah Tahfiz MAI setelah menghafal enam juz Al-Quran.

Selain cemerlang dalam penghafalan Al-Quran, Izzah juga merupakan antara pelajar yang mengambil sembilan mata pelajaran akademik termasuk Sains Tulen di MAI.

Ditanya tentang lima tip menghafal Al-Quran, Izzah berkongsi:

“Lima cara saya amalkan dalam menghafal Al-Quran iaitu: Mengulang, menulis, membaca maknanya, mendengar dan juga berdoa.

“Insya-Allah perjalanan untuk menghafal Al-Quran akan menjadi lebih mudah.”

Menurut Ketua Jabatan Bahasa Arab dan Pembelajaran Islam (ALIS) di MAI, Ustaz Abu Bakar Sidik Hassan, madrasah tersebut menjalankan kelas tahfiz di samping pengajian Al-Quran.

“Kelas tersebut adalah sebahagian daripada usaha kami supaya pelajar dapat meraih ilmu akademik dan juga ukhrawi yang menyeluruh.

“Harapan kami supaya pelajar MAI dapat menjadi insan berilmu dan berupaya, berteraskan ajaran Islam yang kuat,” kata Ustaz Abu Bakar.

Bagi meningkatkan cinta pada Al-Quran, MAI juga menganjurkan program Ihya’ Al-Quran, iaitu pembacaan Al-Quran beramai-ramai setiap hari sebelum solat zuhur, yang akan sampai kemuncaknya dengan majlis khatam Al-Quran bersama pelajar dan kakitangan madrasah setiap hujung tahun.

Semua acara itu dijalankan di dalam dewan sekolah MAI.

“Insya-Allah apabila siap bangunan baru MAI nanti, acara sebegini boleh dianjurkan untuk lebih ramai orang dengan adanya dewan yang lebih selesa dan prasarana yang lebih canggih dan baik.

“Reka bentuk kampus baru ini mengambil kira keperluan madrasah untuk melahirkan golongan karyawan dan pemimpin agama yang berkemampuan dan bersedia untuk masa depan,” kata Pengetua MAI, Encik Herman Cher Ma’in.

Bangunan kampus baru MAI setinggi lima tingkat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan teknologi tinggi bagi memenuhi keperluannya dalam memberi tumpuan pada mata pelajaran sains dan teknologi.

Kampus baru itu dijangka mampu menampung lebih 300 pelajar.

Antara kemudahan baru yang bakal dibina termasuk dua makmal sains, ruang sains dan eksperimen di luar bilik darjah, serta makmal sumber dan perpustakaan.

Dalam pada itu, kampus baru itu juga akan dimuatkan dengan prasarana yang mesra alam seperti lampu jimat tenaga dan peralatan air yang lebih cekap.

Dijangka menelan belanja $17 juta, madrasah itu sejauh ini telah menerima suntikan dana $10 juta daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Usaha mengumpul baki $7 juta itu sedang giat dijalankan.

MAI merupakan salah satu daripada tiga madrasah sepenuh masa di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS).

Ia menawarkan pendidikan akademik peringkat menengah dengan tumpuan khusus pada mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik berlandaskan Islam (iSTEM).

Ini bermakna selain mata pelajaran Islam seperti Dirasat Deeniyah dan Program Tahfiz, ia mempersiapkan pelajar bagi peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dalam mata pelajaran akademik seperti Ilmu Fizik, Kimia, Kaji Hayat, Matematik dan Geografi.

“Lima cara saya amalkan dalam menghafal Al-Quran iaitu: Mengulang, menulis, membaca maknanya, mendengar dan juga berdoa. Insya-Allah perjalanan untuk menghafal Al-Quran akan menjadi lebih mudah.”
– Izzah Zakia Yusoff, 15 tahun, antara 20 pelajar terbaik Anugerah Tahfiz MAI setelah menghafal enam juz Al-Quran.

sumber : https://specials.beritaharian.sg/sgbagus/kegiatan/madrasah-al-arabiah-lahirkan-golongan-hafizah

Tags:
, ,
No Comments

Post A Comment