18 Jan Matlamat cemerlang dalam semua subjek tercapai
Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah: Meraih lapan gred A dan satu B.
Oleh Siti Aisyah Nordin
KEJAYAAN yang dicapai dalam pelbagai pertandingan matematik menyerlahkan cintanya terhadap subjek tersebut.
Ini termasuk meraih anugerah emas dalam Olimpiad Matematik Sekolah Singapura dan Asia pada 2017 dan 2018 dan juga anugerah gangsa dalam Olimpiad Matematik Antarabangsa pada 2018.
Namun, semangat untuk melakukan yang terbaik bukan sahaja dikhaskan untuk subjek kegemarannya itu sahaja malah pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Luqman Jun’en Mohammad Sa’ad komited untuk memberi tumpuan dan usaha yang setimpal bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Ini jelas kelihatan melalui prestasinya di sekolah di mana selain meraih keputusan cemerlang dalam bidang akademik, Luqman juga berjaya meraih 3.9 daripada markah penuh 4 mata bagi Dirasat Deeniyyah atau subjek ukhrawi yang diambil di sekolah.
Keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ yang diduduki tahun lalu turut menjadi bukti kesungguhan Luqman untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Mengambil sembilan subjek, beliau meraih keputusan kepujian dengan lapan gred A dan satu B.
Walaupun merupakan seorang yang terdorong oleh semangat sendiri dalam mencapai matlamat yang ditetapkan dalam pembelajarannya, Luqman akui persiapan untuk peperiksaan penting itu tahun lalu agak mencabar.
“Pembelajaran yang perlu dilakukan di rumah akibat situasi pandemik Covid-19 agak sukar. Kurangnya interaksi fizikal antara guru dan pelajar menjejas semangat untuk belajar.
“Peperiksaan pertengahan tahun di sekolah juga ditiadakan tahun lalu, jadi saya rasa penilaian sama ada saya cukup bersedia untuk peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ kurang,” katanya.
Demi meraih keputusan yang diinginkan, Luqman memastikan beliau mengekalkan disiplinnya dengan menetapkan jadual belajar, contohnya memperuntukkan waktu malam untuk melakukan kerja sekolah atau mengulangkaji pelajaran.
“Saya lebih senang belajar di waktu malam apabila orang lain tidur, kerana lebih tenang,” katanya.
Daya saing yang sihat antara rakan sekelasnya juga menjadi antara pendorong beliau untuk melakukan yang terbaik.
Ini disamping menerima sokongan yang padu dari ibu bapa serta guru sekolah.
Kebiasaan untuk tidak berlengah dalam mengulangkaji pelajaran juga memainkan peranan penting supaya pelajar lebih bersedia, terutama sekali dalam mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan penting.
“Rehat yang cukup juga perlu supaya kita dapat mengekalkan keadaan mental dan fizikal yang lebih baik,” ujarnya.
Bapanya, Encik Mohammad Sa’ad Abdullah, berkata beliau dan isteri tidak pernah memberikan tekanan atau meletakkan jangkaan untuk beliau mencapai matlamat tertentu, sebaliknya mereka menekankan pentingnya proses dan usaha yang dilakukan.
“Kami memberikan beliau kebebasan untuk mengimbangi antara pelajaran dengan masa lapangnya supaya beliau kawal sendiri dan lebih menikmati proses pembelajarannya.
“Luqman memiliki sikap yang suka bertanya dan ingin tahu, beliau juga seorang yang terdorong oleh semangat sendiri, untuk itu kami tak perlu bimbang tentang pelajarannya kerana yakin beliau mampu berdikari,” ujar Encik Sa’ad yang bekerja dalam bidang reka bentuk media.
Beliau turut menambah, segala keputusan yang diraih Luqman merupakan hasil kerja kerasnya sendiri, walaupun tidak pernah mempunyai sebarang tuisyen tambahan.
Luqman berharap keputusannya itu dapat memberi semangat dan galakkan kepada adiknya yang kini berada di sekolah yang sama dan bakal menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ tahun ini.
*Artikel pertama kali disiarkan di Berita Harian pada 18 Januari 2021.
No Comments