20 Nov Menerapkan pemuliharaan alam sekitar dalam pembelajaran Islam
SEBAGAI sebuah institusi penting dalam mendidik golongan muda masyarakat setempat, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) memainkan peranan besar menerapkan elemen pemuliharaan alam sekitar dalam kurikulum pembelajaran Islam.
Ini kerana madrasah tersebut komited untuk menyediakan ilmu Islam yang seluasnya bagi para pelajar, termasuk pandangan Islam terhadap alam sekitar dan pembangunan yang mampan.
Menurut Naib Pengetua MAI, Cik Aisha Abd Manaf, pandangan Islam terhadap alam sekitar dan pemuliharaan sumber bukan sahaja melibatkan larangan pada eksploitasi yang berlebihan, tetapi juga pada pembangunan yang mampan.
“Rasulullah menggalak umatnya menanam pokok dan menyemai tumbuh-tumbuhan, dan semuanya itu dianggap perbuatan yang baik,” kata Cik Aisha.
Tambah beliau, ia sejajar dengan kurikulum pendidikan Islam yang diajarkan di madrasah tersebut, Dirasat Deeniyah, di mana topik-topik seperti pemuliharaan sekitaran dan sumber serta pembangunan yang mampan diterapkan “untuk menanam kesedaran, penghargaan dan sumbangan terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dalam diri pelajar.”
Ternyata komitmen madrasah tersebut bukan sekadar di dalam bilik darjah.
Sejak beberapa tahun lalu, madrasah itu telah mengadakan pelbagai projek dan inisiatif demi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan para pelajarnya.
Misalnya, setiap tahun Kelab Hijau MAI menganjurkan inisiatif Kitar Semula dengan Rahmah (Recycle with Rahmah) yang bertujuan mengurangkan pembaziran dan memulihara sumber asli bumi.
Menerusi inisiatif tersebut, para pelajar bukan sahaja melakukan peranan mereka, tetapi juga menggalak teman-teman, ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk sama-sama mengitar semula barangan terpakai seperti surat khabar; baju-baju lama; dan sisa buangan elektronik, termasuk komputer riba dan modem.
Seiringan itu di sekolah, pelajar diterapkan dengan tabiat untuk mengitar semula botol, bekas plastik dan barangan buangan lain ke dalam tong kitar semula yang disediakan.
“Sebagai khalifah di muka bumi, adalah tanggungjawab setiap Muslim untuk menjaga alam sekitar menerusi cara yang proaktif,” kata Cik Aisha.
Pada tahun 2018 dan 2019, MAI telah diberikan Anugerah Vanda Ms Joaquim – penghargaan Majlis Sekitaran Singapura (SEC) kepada sekolah-sekolah yang menunjukkan usaha-usaha menjaga alam sekitar di dalam kampus sekolah dan bagi masyarakat.
MAI juga terlibat dalam Anugerah Hijau Sekolah (SGA) anjuran badan yang sama.
Sementara itu, anggota Kelab Hijau MAI turut memainkan peranan aktif dalam menanam dan menyemai tanam-tanaman di dalam perkarangan sekolah, agar para pelajar dapat menghargai sekitaran mereka dengan lebih baik.
“Semua aktiviti dan amalan ini menjadi asas bagi memupuk sikap dan kemahiran sepanjang hayat untuk mengitar semula dan menjaga alam sekitar dalam kalangan pelajar MAI,” kata Cik Aisha.
Sedang ia melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi membentuk para pelajar yang lebih menyeluruh, MAI turut mengalu-alukan sokongan masyarakat untuk terus membolehkannya melaksanakan yang terbaik.
Ini kerana sebagai sebuah institusi masyarakat, ia amat bergantung pada sumbangan yang diberikan orang ramai.
“Dengan sumbangan yang dihulurkan, MAI akan dapat melahirkan golongan pemimpin agama dan masyarakat yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat kelak,” jelas Cik Aisha.
Artikel pertama kali disiarkan di Berita Harian pada 20 Nov 2020.
No Comments