Juara memanah mahu wakili negara

19 May Juara memanah mahu wakili negara

MOHAMMAD HAZIQ MIRZA MOHAMMAD ZAIFAR: Pelajar menengah tiga Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) ini berjaya merangkul pingat perak dalam kategori Divisyen ‘B’ pelajar lelaki yang disertainya. – Foto MAI

Disiarkan di Berita Harian pada 19 May 2017
oleh SHAMSUL JANGARODIN

HAMPIR setiap hari, Zayna Hashim menghabiskan masanya menjalani latihan memanah di sekolah.

Bahkan menjelang musim pertandingan, pelajar menengah tiga Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) itu turut meluangkan masa hujung minggunya, termasuk hari lahirnya, bersama jurulatih dan anggota pasukan memanahnya mengasah kemahiran mereka menepati pusat sasaran atau bull’s eye.

Berkat latihan gigih anak muda itu, Zayna berjaya menjuarai kategori Divisyen ‘B’ pelajar perempuan yang disertainya dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Antara Sekolah-Sekolah (NISAC).

Kejohanan tersebut diadakan pada 22 April hingga 23 April lalu di Padang Memanah Kolej Antarabangsa Shelton di Telok Blangah Rise.

Menurut Zayna, beliau “rasa amat gembira dan lega masa yang diluangkan untuk berlatih akhirnya menampakkan hasil”.

“Pada masa akan datang, saya berharap dapat mewakili Singapura dalam pertandingan memanah pada peringkat antarabangsa,” kata Zayna yang turut berlatih sendiri di luar masa sekolah.

Selain Zayna, seramai 12 pelajar MAI lain turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut – tahun keempat MAI menyertainya.

Seorang lagi pelajar menengah tiga MAI, Mohammad Haziq Mirza Mohammad Zaifar, berjaya merangkul pingat perak dalam kategori Divisyen ‘B’ pelajar lelaki yang disertainya.

Dua lagi pelajar MAI, Anggana Yudono Alvin dan Siti Sofiyah Mohammad Noor, masing-masing mencatatkan tempat kelapan dan ke-10 dalam kategori masing-masing.

Secara keseluruhan seramai 185 pelajar menyertai kejohanan dua hari itu.

Kelab Memanah MAI ditubuhkan lima tahun lalu dan sejak itu dipimpin jurulatih Ali Awang.

Kelab tersebut kini mempunyai 55 orang anggota – separuh daripadanya merupakan pelajar menengah tiga.

“Di MAI, kami amat menggalak sukan sunah ini kerana selain berfungsi sebagai satu latihan jasmani, ia mengajar pelajar memberikan tumpuan penuh pada sesuatu tugasan,” kata Pengetua MAI, Encik Herman Cher Ma’in.

MAI kini dalam usaha mengumpul dana untuk kampus barunya yang dijangka siap pada 2019.

sumber : https://specials.beritaharian.sg/sgbagus/iman/juara-memanah-mahu-wakili-negara

Tags:
, ,
No Comments

Post A Comment