Pelajar MAI dipilih arkitek muda terbaik

13 Jul Pelajar MAI dipilih arkitek muda terbaik

TEMPA JAYA: Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), Aqilah Zahidah Zanial, dinamakan Arkitek Muda Terbaik dalam Program Belia, Seni Bina CapitaLand (CLYAP). – Foto MADRASAH AL-ARABIAH AL-ISLAMIAH

Disiarkan di Berita Harian pada 13 Jul 2018
oleh SHAMSUL JANGARODIN

PENDIDIKAN di madrasah sepenuh masa bukan penghalang bagi Aqilah Zahidah Zanial daripada mencatat kejayaan dalam program seni bina khusus bagi pelajar menengah lewat tahun lalu.

Malah, berkat usaha gigih beliau dalam Program Belia, Seni Bina CapitaLand (CLYAP), Aqilah berjaya dipilih antara lima pelajar yang dikenal pasti memiliki komitmen tinggi serta kemahiran dan keupayaan baik dalam mereka bentuk.

Hasilnya, pelajar menengah empat Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) itu dikurniakan Anugerah Arkitek Muda.

Selaku ketua kumpulan dari MAI, Aqilah berkata beliau bukan sahaja berdepan dengan cabaran besar untuk menyatukan pasukannya, bahkan harus memiliki kepercayaan yang tinggi bahawa mereka mampu memenuhi keperluan program tersebut.

CLYAP memerlukan pelajar melalui program bimbingan selama tiga bulan tentang rekaan dan memahami keperluan pengguna melibatkan ruang kosong yang terdapat dalam sesebuah kejiranan masyarakat seperti kolong blok, pavilion dan pusat warga senja atau belia.

Mereka kemudian perlu mendapatkan maklum balas orang ramai dalam kejiranan tersebut bagi mendapatkan idea terbaik tentang penggunaannya lalu mengusulkannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur pasukan saya mampu kekal komited sepanjang program ini meskipun terdapat pelbagai cabaran, terutama pada saat-saat akhir program tersebut.

“Kami perlu mengenal pasti masalah bagi ruang yang ada di Kim Keat Court dan fikirkan cara terbaik mereka semula kawasan itu agar pengguna dapat menggunakannya dengan lebih baik, dan ruang itu menjadi lebih bermanfaat kepada semua penduduk.

“Masya-Allah, usaha kami berbaloi. Reka bentuk yang pasukan kami usahakan mendapat anugerah merit dari Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Daerah Central, dan saya pula, sebagai ketua kumpulan, dipilih sebagai Arkitek Muda Terbaik,” kata Aqilah.

CLYAP ditaja sayap amal CapitaLand, Yayasan Harapan CapitaLand (CHF), dan disokong Persatuan Rakyat (PA), Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kelima-lima pemenang Anugerah Arkitek Muda diberi peluang mengikuti program kenal suai seni bina selama tujuh hari, anjuran CapitaLand.

“Tentunya ia satu pengalaman unik bagi saya dapat mengunjungi tempat-tempat yang direka arkitek-arkitek terunggul.

“Program ini membolehkan saya memahami lebih mendalam tentang pelbagai aspek berbeza mengenai seni bina. Alhamdulillah,” kata Aqilah.

Pencapaian yang ditonjolkan Aqilah merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi MAI dan merupakan testimoni bahawa pelajar madrasah bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan ukhrawi, malah mampu berjaya dalam bidang akademik lain.

“Kejayaan ini seiringan dengan misi Madrasah Al-Arabiah untuk menjadi institusi terulung dalam membangunkan golongan pelajar cemerlang dalam nilai-nilai Islam, di samping menjadi insan yang kaya dengan pengetahuan, dan komited serta terangsang untuk berusaha gigih demi kebaikan ummah dan kemanusiaan,” kata pengetua MAI, Encik Herman Cher Main.

MAI kini dalam usaha mengumpul dana bagi kampus barunya yang bakal beroperasi menjelang Januari 2020.

Ia merupakan satu-satunya madrasah sepenuh masa peringkat menengah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang menawarkan kurikulum aliran akademik.

Ini bermakna selain mata pelajaran Islam seperti Dirasat Deeniyah dan Program Tahfiz, ia mempersiapkan pelajar bagi peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ dalam mata pelajaran akademik seperti Fizik, Matematik dan Geografi.

sumber : https://specials.beritaharian.sg/sgbagus/santai/pelajar-mai-dipilih-arkitek-muda-terbaik

Tags:
,
No Comments

Post A Comment